Template by:
Free Blog Templates

Khamis, 17 Jun 2010

"Paspa....Paspa...," nama itu terusku panggil tanpa berjawab.

Aku terus meninggalkan kerjaku lalu menuju ke tandas. Sebenarnya, aku menangis bukan sebab mataku gatal. Tetapi, yang sebenarnya aku sedih dan terharu sewaktu menonton drama di kaca tv tadi. Begitulah perasaan aku yang mudah terasa dan emosional. Aku terus menuju ke arah ayah. Sengaja aku beritahu ayah yang aku tak nak menyambung semula kerja yang tergendala tadi dengan alasan penat dan mengantuk.


Aku terus masuk ke kamar. Cuba untuk pejam celik mata berulang kali bagi menghilangkan rasa kantuk sebaik saja melabuhkan punggungku ke atas katil sambil melayan persoalan yang bertubi-tubi menerjah ke kotak fikiranku. Begitulah perkara yang selalu aku lakukan sebelum melelapkan mata. Sedang asyik melayan persoalan yang hanya membuntukan fikiran, aku bangun seketika lalu duduk ke sisi tingkap yang tertutup sambil memeluk tubuh. Segugus nafas ringan dileraikan dari dada, menyentak khayalan bagai terasa urat-urat keletihan yang tersulam bosan di wajahku. Hari-hari yang kulalui penuh dengan senyuman yang tak lekang di bibir...... bagai tenggelam dalam wajah senja yang semakin berat. Tapi itulah azimat yang paling berharga buatku.


Kesegaran angin malam menerobos kasar menampar wajahku lalu menyusup masuk ke celah-celah lubang dinding hingga terbuai lena mimpi dan akhirnya terlena jua. Malam itu aku bermimpi......kembalinya Paspa di sisi...... Paspa kelihatan ayu......dan yang paling berharga bagiku ialah lirik senyuman di bibir manisnya. Terlerai rasa rindu yang mencengkam hati. Namun hanya satu saja yang sukar untukku tafsir....redup matanya seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Aku ingin bertanya....namun Paspa lenyap dari mata.


"Paspa....Paspa....," nama itu terusku panggil tak berjawab.

"Apiz.....Apiz.....," suara garau itu mula menyapa.

"Ahh...... akhirnya kau menjawab juga ya Paspa.....," bisikku sendirian.

"Piz......bangun....bangun!"

Rabu, 16 Jun 2010

"HENDAK TERBANG TIDAK BERSAYAP, HENDAK HINGGAP TIDAK BERKAKI"

BABAK SETERUSNYA...


Sedikit demi sedikit petang mula merangkak senja. Cahaya merah langit mula pudar dan bertaut dengan kegelapan sambil diiringi kesegaran angin yang mengamuk sepoi-sepoi bahasa, menyisar-nyisar hingga mengerat daun-daun kering ke serata halaman....gugur,
seolah tak rela dipisahkan dari ranting-ranting atau dahan-dahan pokok yang sudah sebati dengannya. Ingatan yang datang tiba-tiba segera menangkap dan membawa lamunanku tenggelam jauh...... menimbulkan kenangan lama yang tidak pernah kering dan usang, malah tak pudar dalam ingatan. Diriku mula diselimuti rasa pesimis dan mengalah. Entahlah. Hendak terbang tidak bersayap, hendak hinggap tidak berkaki. Begitulah keadaan aku. Tak mampu menepis semua ini dengan rasa kesabaran yang sepatutnya mempunyai pengorbanan yang jitu. Aku mula sedar apabila lamunanku disentak oleh dentuman azan yang berkumandang ke udara. Rupa-rupanya senja mula bertaut malam.


Aku terus membersihkan diri sebelum mengerjakan solat tarawikh. Malam ini adalah malam terakhir umat islam mengerjakan solat tarawikh yakni malam ke-29 Ramadhan 1421 Hijrah. Sebelum itu, aku kembali mengemas helai-helaian kertas dan buku-buku yang bersepah di atas meja tulisku tadi. Di dalam sedar aku berfikir, tarikh yang bermakna itu kembali lagi. Dan di luar sedar pula, usiaku sudah pun menjangkau 18 tahun.


Sebaik saja balik dari masjid, aku terus mengalas perut. Selepas itu, perkara biasa yang aku lakukan ialah menolong ayah mengemas ruang tamu sambil menonton televisyen. Dalam menghayati keheningan malam sambil mendengar Dendang Perantau berkumandang di corong radio di ruang dapur, tiba-tiba kelopak mataku mengeluarkan air mata egoku selama ini.


"Kenapa kau menangis, Apiz?"

"Tak adalah! Mata Apiz ni je gatal."

"Ehh... jangan nak sorok dari ayahlah..."

"Tak apalah ayah...Apiz nak ke tandas sekejap."

"Aaaa......baiklah."

Sabtu, 12 Jun 2010

29 RAMADHAN 1419 HIJRAH

sambungan TEMAN BICARA

29 Ramadhan 1419 Hijrah, tarikh yang amat bermakna dalam hidupku. Waktu itu, usiaku baru saja menjangkau 16 tahun. Manakala usianya lebih tua setahun daripadaku. Pada malam itu juga adalah malam pertama pertemuan kami. Dan juga malam terakhir umat islam mengerjakan solat tarawikh. Dia, Paspa.... bertandang ke rumahku dengan tujuan hendak meminjam sesuatu daripada emakku. Aku memberanikan diri dengan membuat joke sebagai permulaan berjinak-jinak untuk menegurnya.

"Hai, Paspa!" sergahku secara tiba-tiba sambil membuka tingkap bilik kamarku.

"Hisshh......kau rupanya. Apa kau nak ha!" balas Paspa sambil matanya menjeling tajam ke arahku.

"Tak ada apa-apa. Cuma nak tanya sikit boleh tak?"

"Boleh."

"Kau.....aliran apa?"

"Geo.....Kenapa?"

"Tak ada apa-apa." jawabku sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Bicara kami mati di situ. Begitulah bermulanya detik perkenalan di antara kami. Tiada yang seindah bagaikan pertemuan antara Romeo & Juliet. Aku....aku terus menganyam coretan ini. Namun ada saja penghalang yang menyekat seolah-olah sengaja tak mau membiarkan aku terlempar ke alam fantasi. Tiba-tiba bahuku diterpa.

"Berkhayal lagi kau ni!"

"Oh, ayah rupanya. Ingatkan siapa tadi!"

"Ha, dah kau hantarkan pisang goreng yang emak kau suruh tadi?" tanya ayah.

"Dah."

"Ha...?!"

"Tak...Bebb.....belum, ayah."

"Pergi cepat! Nanti marah pula mak kau bila tengok pisang goreng ni belum di hantar."

"Baik, ayah."

Aku terus melangkah keluar rumah sambil memegang erat sepinggan pisang goreng yang bertutupkan plastik putih. Ku tebarkan pandanganku ke sekeliling kawasan rumahnya. Sedikit pun tiada perubahan walaupun putaran zaman silam sudah lama berlalu. Dengan langkah longlai, aku terus menuju ke jendela daun pintu serta memberi salam.

"Assalammualaikum......"

"Waalaikumsalam........Oh, kau Apiz!"

"Ni...... emak sedekahkan pisang goreng," hulurku kepada kakak Paspa.

"Jemputlah masuk dulu Apiz." pelawa kakaknya dengan mesra.

"Tak apalah kak. Saya nak cepat ni."

"Baiklah. Kirim salam kat emak kau!"

"InsyaALLAH"


Aku terus berlalu dengan entah tiba-tiba saja hatiku berkocak. Malah sempat jua mataku menoleh sekilas pandang ke tingkap bilik Paspa yang sentiasa tertutup sejak dia pergi belajar ke luar negeri. Ketegangan hatiku tadi baru sahaja reda. Terfikir sejenak aku.... bila dia akan balik? Sudah dua tahun kami tak berjumpa. Aku.... aku terus berlalu tanpa menunding sesiapa.

Khamis, 10 Jun 2010

AKU TERUS MENYAMBAR DAUN PINTU....

sambungan TEMAN BICARA.

Aku terus menyambar daun pintu dan menyambung semula coretan dari mati di situ. Aku cuba menyusun baris-baris kata untuk di coretkan ke dalam diari ini. Namun gerak jemariku tersekat seolah disekat, membuatkan coretan terhenti seketika. Sejurus, panggilan namaku sekali lagi kedengaran menerjah gegendang telingaku. Namun ku biarkan saja. Kemudiannya, namaku terus di panggil untuk kesekian kalinya.

"Oh, Apiz...tak dengar ke emak panggil ni?" sergah emak yang tiba-tiba saja muncul depan mata.

"Apa emak? Tak dengarlah!"


"Nah, tolong hantarkan pisang goreng ni ke rumah jiran belakang?" arah emak dengan penuh sopan.

Ibu menghulurkan sepinggan pisang goreng itu kepadaku. Lalu aku meletakkannya di atas meja tulis, dengan alasan aku mahu ke bilik air sekejap. Sebaik saja emak beredar ke dapur, aku terus menyambung semula coretan yang tergendala tadi.


"Ahh, nantilah aku hantar!" bentak hati kecilku.


Sengaja ku lengahkan arahan emak. Bila teringatkan jiran belakang rumah, terlintas di kotak fikiranku terkenangkan seseorang insan yang pada suatu ketika dahulu pernah hadir dalam kamus hidupku. Bila digambarkan kembali segala memori itu, betapa sucinya hati ini tatkala kehadirannya dulu benar-benar memberi tamparan yang hebat bagiku. Bila ku imbas pula, betapa indahnya perkenalan kami. Tapi sekarang, segalanya sudah berlalu. Namun, aku masih seperti dulu....menagih secebis kasih yang tak kesampaian. Tiba-tiba kepalaku terangguk-angguk mengikut rentak tangan menulis. Rupa-rupanya aku mengelamun lagi. Aku kembali membelek helaian kertas yang bersepah di atas meja dan terus menyambung semula coretanku tadi.

* TemAn bIcArA*

11 JUNE 2010 0325HRS

ASKUM. LAMA TAK BUKAK BLOG NI? RINDU PLAK...HEHEHE...BULAN MEI LEPAS AKU BALIK KAMPUNG(SIBU,SARAWAK). AKU CARI BALIK CERPEN YG AKU PERNAH BUAT MASA LEPAS SPM 1999. TAK SILAP, DALAM PERTENGAHAN TAHUN 2000 RASANYA CERPEN TU. TAJUKNYA SEPERTI YG TERTERA KAT ATAS TITLE TU. CERPEN NI PERNAH TERPAMPANG DI RUANGAN AKHBAR UTUSAN SARAWAK PADA MASA ITU. DI SINI, AKU NAK KONGSI NGAN KORANG JALAN CERITANYA,OK? DI HARAP KORANG SUMA BLEH KOMEN.

*TEMAN BICARA*

Beginilah aku selalu. Berbicara tanpa suara, meluahkan perasaan cuma dengan helai-helaian kertas bergaris yang ku anggap sebagai diari...diari hati setulus halusnya suci yang memuatkan pelbagai aneka memori, rutin harianku. Sejenak kemudian, aku merenung barisan anak tangga di laman rumah. Sedang leka menghayati,tiba-tiba pandangan mataku dikejutkan oleh sepasang merpati putih yang hadir bagaikan sepasang kekasih. Sedang asyik memerhati gelagat merpati itu, mataku tersentak apabila kedua-dua merpati itu menerpa lalu terbang bagaikan ada sesuatu yang menyergah akan kehadiran mereka. Namun seekor daripadanya tak mampu menerbangkan dirinya lalu jatuh dan rebah ke bumi. Aku segera mendapatkan merpati itu. Sayapnya berdarah merah bagai dipanah oleh seseorang. Aku kaku dan bisu seketika. Malah sempat jua aku menakung air jernih di kolam mata. Lalu jiwaku tersentak akan panggilan namaku dari arah dapur. Namun tidak kupedulikan. Sebaliknya aku mengelamun pula.

Aku terus melayan perasaan bagaikan terjerumus ke alam fantasi nan sengaja tak mahu membiarkan lamunanku tergantung tanpa tali. Kotak fikiranku menerawang mencari kepastian. Adakah begini rentak tari sesetengah remaja? Andainya terlalu mengharap dengan harapan yang menggunung tinggi pada insan entah sudi entah tidak, akan menciptakan luka di hati. Ibarat burung yang terbang tinggi, jika jatuh lukanya parah. Aku segera beralih ke alam realiti sebaik saja lamunanku dikejutkan oleh ayah. Tanpa kusedari, merpati yang ku renung tak berdaya, hilang dari pandangan.

"Apiz, apa yang kau renung tu?" tanya ayah yang tiba-tiba saja terjengol depan pintu.

"Oh, ayah. Tak ada apa-apa." jawab ku selamba.

"Dari tadi ayah tengok kau berkhayal. Emak kau panggil pun kau tak dengar!" sindir ayah sambil menggelengkan kepala.